Thursday, December 01, 2005

Persoalan Islam Hadhari

Semenjak Perdana Menteri Malaysia menyebut tentang perlaksanaan Islam Hadhari mula-mula dahulu, ramai dikalangan masyarakat turut menyebut dan mengulangi istilah yang sama. Baik di kalangan para-para menteri, timbalan-timbalan menteri, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan, para ulama, para akademik, pengulas-pengulas di akhbar dan tidak ketinggalan juga rakyat biasa dari berbagai-bagai peringkat masyarakat.

Walaubagaimanapun tidak ramai yang berani mengulas lanjut tentang konsep ini. Ini kerana orang masih belum faham, tertanya-tanya dan masih belum pasti apa sebenarnya Islam Hadhari itu. Kalau ada pun yang memberi reaksi, hanya setakat menyatakan kefahaman mereka tentang Islam Hadhari tetapi tidak berapa pasti sebab tidak ada tempat rujuk. Penulis juga tertarik dengan pengulasan ’kedai kopi’ yang mengatakan Islam Hadhari itu datang dari dua perkataan ’Had’ dan ’hari’. Yang bermaksud Islam yang ada had-had mengikut keadaan tertentu dan pelaksanaan mengikut hari-hari yang tertentu. Bagaimana ini?

'Islam Hadhari' tidak disebut dalam Quran dan tidak disebut dalam hadis. Ulama-ulama muktabar dahulu pun tidak ada yang menyebutnya. Ia istilah baru atau istilah kontemporari. Ia hanya disebut oleh beberapa ilmuan mutakhir dan kefahaman ini belum meluas dan belum diterima umum. Hadhari dikatakan datang dari perkataan 'hadhara'. Kalau hendak diterjemahkan dari segi bahasa, maknanya hadhir (hadir). Bila ditambah “ya” dihujungnya menjadi hadhari, maka maksudnya menjadi isim nisbah iaitu dibahasakan kepada hadhir.

Terjemahan atau kupasan kepada istilah hadhir ini ialah realiti. Jadi Islam Hadhari ialah Islam Realiti. Realiti pula dikatakan yang sebenarnya, yang betul-betul Islam, yang tulin dan pure dan yang hakiki. Iaitu Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan di zaman para-para sahabat. Islam yang membawa kemajuan rohaniah dan lahiriah. Atau dengan kata lain yang memfokuskan kepada kejayaan materistik dan kerohanian. Apa yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari ialah yang dikatakan Islam yang indah dan bersifat global.

Walau apapun namanya, ia tetap didakwa sebagai Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kerana kalau dikatakan Islam, tidak ada Islam lain selain daripada itu. Kalau berbeza maka ia dengan sendirinya tertolak.

Sebenarnya, kalau disebut Islam sahaja pun sudah cukup. Istilah-istilah dan slogan-slogan yang lain sebenarnya tidak menambah apa-apa kepada istilah Islam. Yang penting umat Islam mesti memahami betul-betul Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Bukan Islam ikut fahaman sendiri atau ikut fahaman kelompok-kelompok yang tertentu. Oleh itu jangan kita terkeliru dengan istilah Madani atau Hadhari. Walaupun bunyinya hebat dan mengkagumkan, ia sebenarnya tidak ada membawa apa-apa maksud baru atau maksud-maksud tambahan kepada istilah Islam yang sebenarnya.

Apa yang penting, kita mesti merujuk kepada Islam yang sebenar atau Islam Realiti dan Islam Hakiki. Semua aspek Islam terbawa dalam setiap tindakan. Aqidah dan syariat terbawa dan berlaku dalam semua aspek dan tempat, samada dalam diri sendiri, rumahtangga, masyarakat, pejabat, pentadbiran, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, pertanian, hiburan, perhubungan, dalam negara dan dalam hal-hal antarabangsa.

Persoalan yang mungkin harus diketengahkan sekarang ialah bagaimana pelaksanaannya konsep ini. Apakah ada perubahan yang kita nampak setakat ini. Dengan besar harapan kita semuga perlaksanaannya dan teori yang canggih itu selari dan tidak banyak yang dapat dipersoalkan lagi. Semuga istilah dari kedai kopi itu akan hanya lapok begitu sahaja.

Amin...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home