Sunday, November 20, 2005

Menghadhiri Jemputan Rumah Terbuka atau kenduri-kendara



Amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalam ziarah menziarahi adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa mengamal etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta‘ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Dari Ibnu Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila seseorang daripada kamu dijemput ke majlis kenduri maka hendaklah kamu menghadirinya Hadis Sahih Muslim

Dalam hadis yang lain,
Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Makanan yang buruk ialah makanan di majlis kenduri yang mana jemputannya ialah orang-orang kaya sahaja dan orang-orang miskin tidak dijemput. Orang yang tidak memenuhi jemputan sesungguhnya dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya
Hadis Sahih Muslim

Jangan Lupa...
Umat Islam perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara. Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home