Thursday, December 22, 2005

Bencana alam peringatkan manusia tingkat keimanan

Tahun lepas gempa bumi di dasar laut yang menyebabkan ombak besar atau lebih dikenali Tsunami melanda beberapa negara Asia pada 26 Disember 2004. Beratus ribu nyawa terkorban. Apa pula nasib mereka yang masih hidup? Ikutan dari itu gempa bumi disana sini terus berlaku. Sehingga yang terkini termasuk banjir yang terdahsyat sepanjang 30 tahun ditanah air kita. Begitu juga tempat-tempat yang tak pernah ada salji, sekarang sudah ada. Di Jepun misalnya beberapa nyawa terkorban akibat dilanda salji.

Dunia terpegun, terperanjat dan seakan-akan tidak percaya. Ahli sains dan pakar geologi mempunyai pelbagai teori yang menjadi punca gempa besar di dasar laut yang kekuatannya jauh melebihi letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun. Mereka berkata bahawa tsunami terjadi akibat pergeseran kerak bumi di dasar laut yang membuat getaran hebat dan kemudian disusuli dengan ombak maha dahsyat berkelajuan melebihi 800 kilometer sejam. Begitu juga dengan fenomema yang lain-lain, ada teorinya.

Pada hakikatnya, manusia mesti akur dan menginsafi bahawa kekuatan akal, fikiran dan usaha manusia sangat terbatas berbanding kebesaran dan kekuasaan Allah. Bencana alam ini menyedarkan bahawa manusia sebenarnya tidak dapat menolak kehendak dan takdir-Nya.

Jika dipandang melalui kaca mata agama, bencana alam seharusnya dijadikan alat untuk merenung dan berfikir apa yang telah dilakukan manusia. Sebab segala sesuatu yang berlaku di alam ini tidak berlaku secara begitu saja, tanpa ada hikmah tersembunyi yang berfungsi sebagai pengajaran untuk manusia.

Adakalanya bencana alam itu berlaku akibat proses semula jadi alam, sama ada pergeseran yang bertujuan memperkukuhkan struktur bumi atau gejala alam biasa seperti letupan gunung berapi. Namun, ada kalanya bencana alam itu terjadi akibat tangan manusia. Banjir, tanah runtuh dan kesan rumah kaca sering terjadi kerana manusia merosak hutan dan memotong pokok kayu tanpa perhitungan. Mendirikan pelbagai bangunan tanpa menimbangkan keadaan alam sekitar juga sering menjadi punca pelbagai bencana alam. Hal itu dengan tegas disebut Allah dalam al-Quran.

Firman-Nya bermaksud:

“Telah terjadi pelbagai kerosakan dan kebinasaan di laut dan darat diakibatkan kerana perbuatan tangan manusia itu sendiri." (Surah al-Rum, ayat 41).

Ada pula bencana alam sebagai peringatan terhadap kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh manusia. Hal ini seperti yang berlaku terhadap umat Nabi Yunus. Nabi Allah itu mengajak umatnya menganut agama tauhid dan menegah mereka daripada berbuat syirik dan kebinasaan. Tetapi, kaumnya enggan dan menolak dakwah itu. Maka, serta merta datanglah gempa bumi yang dahsyat membinasakan harta benda, tanaman dan ternakan. Gempa besar itu menyedarkan mereka daripada kekhilafannya. Akhirnya umat Nabi Yunus kembali ke ajaran agama tauhid yang sebenar.

Ertinya, bagi orang mukmin bencana alam dan musibah itu sebenarnya adalah teguran daripada Allah terhadap kesalahan dan tingkah laku manusia yang sudah terlalu jauh menyimpang dan meninggalkan ajaran sebenarnya. Musibah ini memperingatkan kita untuk kembali ke pangkal jalan meninggalkan kemaksiatan dan dosa, kembali kepada kebenaran.

Namun, ada kalanya musibah dan bencana itu berupa azab yang ditimpakan Allah kepada kaum kafir, zalim dan melampau batas, bukan kerana gejala semula jadi alam atau akibat tangan manusia. Peristiwa banjir besar pada zaman Nabi Nuh adalah salah satu contohnya. Pada masa itu, hutan belum lagi ditebang secara meluas, industri belum lagi ada, kesan rumah kaca pun belum lagi wujud. Tetapi, Allah menurunkan banjir dan memusnahkan kaum itu dari bumi ini. Hal ini berlaku kerana kekafiran dan penderhakaan yang mereka lakukan terhadap Maha Kuasa.

Begitu juga peristiwa pada zaman Nabi Luth, dalam bentuk gempa bumi yang sangat besar yang meranapkan semua bangunan tempat tinggal dan membinasakan semua penduduk negeri itu.

Padahal, pada masa Nabi Luth alam itu masih lagi lestari, belum ada kerosakan akibat tangan manusia. Tetapi, Allah mendatangkan azab bagi menghukum kejahatan dan sikap melampau batas yang mereka lakukan dan sikap sombong serta kafir terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.

Oleh itu, bencana alam yang melanda beberapa negara seharusnya menjadi iktibar bagi kita semua. Musibah ini juga seharusnya membuat kita bertanya yang mana satukah daripada diatas yang sedang berlaku ini?

Jika bencana alam itu adalah gejala alam biasa, maka sebagai orang yang beriman kita hanya dapat mengucapkan Subhanallah di atas kekuasaan Tuhan yang diperlihatkan-Nya melalui fenomena alam yang demikian dahsyatnya.Jika kejadian itu berpunca daripada kerosakan yang dilakukan oleh tangan manusia, maka penyebab itu mestilah ditemukan bagi mencari jalan penyelesaiannya. Namun, jika bencana ini adalah peringatan kepada manusia, maka sewajarnya kita merenung dan muhasabah diri untuk mengingat kesilapan yang dilakukan, bertaubat dan memohon ampun kepada Allah, Tuhan pemilik alam ini.

Salah satu jalan terbaik untuk menolak bala dan bencana serta memudahkan datangnya kasih sayang Tuhan adalah dengan mengukuhkan iman dan takwa. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud:

“Andai kata penduduk satu negeri itu benar-benar beriman dan bertakwa, maka kami akan bukakan kepada mereka keberkatan kami yang datang dari langit mahupun yang tumbuh dari bumi. Akan tetapi jika mereka mendustakan ayat kami, maka kami akan azab mereka akibat daripada perbuatan mereka sendiri " (Surah al-A'raf, ayat 96)

Thursday, December 01, 2005

Persoalan Islam Hadhari

Semenjak Perdana Menteri Malaysia menyebut tentang perlaksanaan Islam Hadhari mula-mula dahulu, ramai dikalangan masyarakat turut menyebut dan mengulangi istilah yang sama. Baik di kalangan para-para menteri, timbalan-timbalan menteri, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan, para ulama, para akademik, pengulas-pengulas di akhbar dan tidak ketinggalan juga rakyat biasa dari berbagai-bagai peringkat masyarakat.

Walaubagaimanapun tidak ramai yang berani mengulas lanjut tentang konsep ini. Ini kerana orang masih belum faham, tertanya-tanya dan masih belum pasti apa sebenarnya Islam Hadhari itu. Kalau ada pun yang memberi reaksi, hanya setakat menyatakan kefahaman mereka tentang Islam Hadhari tetapi tidak berapa pasti sebab tidak ada tempat rujuk. Penulis juga tertarik dengan pengulasan ’kedai kopi’ yang mengatakan Islam Hadhari itu datang dari dua perkataan ’Had’ dan ’hari’. Yang bermaksud Islam yang ada had-had mengikut keadaan tertentu dan pelaksanaan mengikut hari-hari yang tertentu. Bagaimana ini?

'Islam Hadhari' tidak disebut dalam Quran dan tidak disebut dalam hadis. Ulama-ulama muktabar dahulu pun tidak ada yang menyebutnya. Ia istilah baru atau istilah kontemporari. Ia hanya disebut oleh beberapa ilmuan mutakhir dan kefahaman ini belum meluas dan belum diterima umum. Hadhari dikatakan datang dari perkataan 'hadhara'. Kalau hendak diterjemahkan dari segi bahasa, maknanya hadhir (hadir). Bila ditambah “ya” dihujungnya menjadi hadhari, maka maksudnya menjadi isim nisbah iaitu dibahasakan kepada hadhir.

Terjemahan atau kupasan kepada istilah hadhir ini ialah realiti. Jadi Islam Hadhari ialah Islam Realiti. Realiti pula dikatakan yang sebenarnya, yang betul-betul Islam, yang tulin dan pure dan yang hakiki. Iaitu Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan di zaman para-para sahabat. Islam yang membawa kemajuan rohaniah dan lahiriah. Atau dengan kata lain yang memfokuskan kepada kejayaan materistik dan kerohanian. Apa yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari ialah yang dikatakan Islam yang indah dan bersifat global.

Walau apapun namanya, ia tetap didakwa sebagai Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kerana kalau dikatakan Islam, tidak ada Islam lain selain daripada itu. Kalau berbeza maka ia dengan sendirinya tertolak.

Sebenarnya, kalau disebut Islam sahaja pun sudah cukup. Istilah-istilah dan slogan-slogan yang lain sebenarnya tidak menambah apa-apa kepada istilah Islam. Yang penting umat Islam mesti memahami betul-betul Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Bukan Islam ikut fahaman sendiri atau ikut fahaman kelompok-kelompok yang tertentu. Oleh itu jangan kita terkeliru dengan istilah Madani atau Hadhari. Walaupun bunyinya hebat dan mengkagumkan, ia sebenarnya tidak ada membawa apa-apa maksud baru atau maksud-maksud tambahan kepada istilah Islam yang sebenarnya.

Apa yang penting, kita mesti merujuk kepada Islam yang sebenar atau Islam Realiti dan Islam Hakiki. Semua aspek Islam terbawa dalam setiap tindakan. Aqidah dan syariat terbawa dan berlaku dalam semua aspek dan tempat, samada dalam diri sendiri, rumahtangga, masyarakat, pejabat, pentadbiran, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, pertanian, hiburan, perhubungan, dalam negara dan dalam hal-hal antarabangsa.

Persoalan yang mungkin harus diketengahkan sekarang ialah bagaimana pelaksanaannya konsep ini. Apakah ada perubahan yang kita nampak setakat ini. Dengan besar harapan kita semuga perlaksanaannya dan teori yang canggih itu selari dan tidak banyak yang dapat dipersoalkan lagi. Semuga istilah dari kedai kopi itu akan hanya lapok begitu sahaja.

Amin...