Sunday, November 27, 2005

Mengapa Pentingnya Makanan Halal

Seseorang yang ingin memiliki kekuatan batin bersumber dari tenaga Ilahiyah harus memperhatikan makanannya. Baginya pantang kemasukan makanan yang haram kerana kehadirannya akan mengotori hati. Makanan yang haram akan membentuk jiwa yang kasar dan tidak bersifat keagamaan. Makanan yang haram disini bukan hanya dilihat dari jenisnya saja ( Misal ; Babi, bangkai, dll.), tapi juga dari cara dan proses untuk mendapatkan makanan tersebut.

Kesan dari makanan yang haram ini menyebabkan jiwa sukar untuk diajak menerima dengan hal-hal yang positif, seperti : dibuat zikir tidak khusuk, berdo’a tidak sungguh-sungguh dan hati tidak tawakal kepada Allah.

Daging yang tumbuh dari makanan yang haram selalu menuntut untuk diberi makanan yang haram pula. Seseorang yang sudah terjebak dalam lingkaran ini sulit untuk melepaskannya, sehingga secara tidak langsung menjadikan hijab atau penghalang seseorang memperoleh getaran/ cahaya Illahiyah.

Disebutkan, setitik makanan yang haram memberikan kesan terhadap kejernihan hati. Ibarat setitik dakwat yang jatuh diatas kertas putih, semakin banyak unsur makanan haram yang masuk, ibarat kertas putih yang banyak ternoda dakwat itu. Sedikit demi sedikit akan hitamlah semuanya.

Hati yang gelap menutupi hati nurani, menyebabkan tidak peka terhadap nilai-nilai kehidupan yang mulia. Seperti kaca yang kotor oleh debu-debu, sulitlah cahaya menembus nya. Tapi dengan zikir dan menjaga daripada makanan haram, hati menjadi bersih bercahaya.

Wallahualam..

Thursday, November 24, 2005

Jengok keadaan semasa - apa kata AnakMinah

Salam, selamat berjumpa kembali setelah beberapa hari AnakMinah tidak mencoretkan sesuatu di sini. Sibuk lah sikit katakan..

Yah! Nampaknya dalam musim cuti sekolah ini, dalam kesibukan meraikan hari Raya kita dengan jemputan rumah terbuka selain dari hariraya ’Depa’, ada begitu banyak jemputan-jemputan yang diterima seperti kenduri-kenduri sempena pemergian bakal haji ke Tanah Suci, Walimatul Urus dan sebagainya. Meriah sekali! Ada yang kecil-kecilan dan ada yang besar-besaran. Tambahan dengan kehadiran bintang Mawi, yang agak berkontroversi ketika ini, lain macam sikit gah nya!

AnakMinah juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan selamat berangkat kepada bakal-bakal haji yang pergi sebagai tetamu Allah ke tanah suci Makkah dan Madinah. Diiringkan doa semuga perjalanan dan urusan haji lancar, dipermudahkan Allah, selamat dan mendapat haji yang mabrur. Renongkanlah petikan hadis berikut.

SABDA RASULULLAH :
" Barangsiapa keluar ( dari rumahnya ) untuk menunaikan Haji tiba-tiba ia meninggal dunia di dalam perjalanannya, maka ditulis baginya ganjaran pahala Haji sehingga ke hari Qiamat dan barangsiapa keluar ( dari rumahnya ) untuk menunaikan Umrah tiba-tiba ia meninggal dunia di dalam perjalanannya, maka ditulis baginya ganjaran pahala Umrah sehinggalah ke hari Qiamat dan barangsiapa keluar ( dari rumahnya ) untuk berjuang di jalan Allah dan ia meninggal dunia di dalam perjalanannya, maka ditulis baginya ganjaran pahala orang Mujahid sehinggalah ke hari Qiamat "
- ( Diriwayat oleh Abu Ya'ala daripada Abu Hurairah )

Aha, kesempatan ini juga AnakMinah harap mereka-mereka yang terkena banjir pula, diharap dapat berhati-hati dan hadapi dengan tenang. Insyaallaah.. ada hikmat disebalik sesuatu kejadian..

Jumpa lagi kemudian..

Tuesday, November 22, 2005

Perkahwinan dan Walimatulurus

Islam telah menggariskan satu perkahwinan yang khusus untuk panduan orang-orang Islam dalam mendirikan rumahtangga bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dalam memilih isteri, Islam memberi kebebasan kepada kaum lelaki untuk memilih bakal isteri yang sesuai dengannya. Islam menganjurkan supaya memilih seorang perempuan yang salih dari keturunan yang ramai anak, berakhlak mulia, dan cantik.

Sabda Rasullah SAW
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi S.A.W telah bersabda: " Dinikahi wanita itu kerana empat sifat, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Pilihlah yang beragama , bahagialah engkau."

Seseorang perempuan boleh membuat pilihan sama ada menerima atau menolak suatu perkahwinan sekiranya mempunyai sebab-sebab yang munasabah.

Perempuan-perempuan yang haram dikahwini ialah:
1.Sebab keturunan

  • Ibu,nenek,ibu sebelah bapa, dan seterusnya(ke atas)
  • Anak, (cucu) cicit, dan seterusnya ( ke bawah)
  • Saudara perempuan seibu sebapa
  • Saudara perempuan seibu
  • Saudara perempuan dari sebelah bapa (anak saudara)
  • Saudara perempuan dari sebelah ibu (emak saudara)
  • Anak perempuan daripada saudara perempuan, dan seterusnya (anak saudara cucu)
  • Anak perempuan daripada saudara lelaki dan seterusnya (anak saudara, cucu)

2.Sebab susuan

  • Ibu susuan
  • Saudara perempuan susuan
  • Adik beradik ibu susuan
  • Anak saudara perempuan susuan
  • Ibu mentua ibu susuan


3.Sebab perkahwinan

  • Ibu mentua
  • Ibu tiri
  • Anak tiri apabila sudah bercampur dengan ibunya
  • Saudara perempuan isteri
  • Menantu
  • Isteri bapa
  • Haram hukumnya menikahi dua adik-beradik perempuan atau seorang perempuan dimadukan dengan saudara perempuan bapanya, atau anak perempuan saudaranya.

Syarat-syarat bakal isteri:

  • Islam
  • Perempuan , bukan khunsa atau pondan
  • Bukan isteri orang
  • Tidak dalam idah
  • Bukan muhrim


Syarat-syarat bakal suami:

  • Islam
  • Lelaki
  • Tidak beristeri empat
  • Bukan muhrim


Islam mengharuskan seorang lelaki melihat bakal isterinya supaya tidak menimbulkan perkara-perkara yang tidak puas hati di kemudian hari. Seseorang lelaki diharuskan melihat muka dan kedua-dua tapak tangan bakal isterinya.


Walimatulurus(kerja kahwin) pula ialah kenduri yang diadakan sempena majlis perkahwinan. Hukum mengadakan walimatulurus adalah sunat Muakad kerana perbuatan tersebut adalah baik dan mulia. Tujuan Islam menggalakkan walimatulurus diadakan ialah:

  • Melahirkan tanda kesyukuran dan kegembiraan
  • Supaya pernikahan tersebut diketahui ramai
  • Untuk mengeratkan tali persaudaraan di antara kedua-belah pihak


Islam menggalakkan walimatulurus, tetapi melarang jamuan tersebut diadakan secara besar-besaran yang bertentangan dengan Islam.

Sabda Rasulullah S.A.W
Maksudnya:Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan jemputan (walimatulurus) maka sesungguhnya dia telah ingkar perintah Allah dan Rasul-Nya.


Menghadiri walimatulurus apabila dijemput adalah wajib sekiranya tidak ada keuzuran. Antara perkara-perkara yang dilarang ketika mengadakan walimatulurus ialah:

  • Melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam
  • Mengadakan walimatulurus untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk
  • Tidak mementingkan perkara haram dalam tersebut
  • Melakukan kenduri walimatulurus yang mempunyai unsur-unsur pembaziran dan sebagainya.

Wallahualam..

Sunday, November 20, 2005

Menghadhiri Jemputan Rumah Terbuka atau kenduri-kendara



Amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalam ziarah menziarahi adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa mengamal etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta‘ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Dari Ibnu Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila seseorang daripada kamu dijemput ke majlis kenduri maka hendaklah kamu menghadirinya Hadis Sahih Muslim

Dalam hadis yang lain,
Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Makanan yang buruk ialah makanan di majlis kenduri yang mana jemputannya ialah orang-orang kaya sahaja dan orang-orang miskin tidak dijemput. Orang yang tidak memenuhi jemputan sesungguhnya dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya
Hadis Sahih Muslim

Jangan Lupa...
Umat Islam perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara. Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Wednesday, November 16, 2005

Jom Cari Buah Zaitun!


Tahukah saudara bahawa salah satu dari buah yang disebut dalam Al-Quran ialah buah zaitun seperti dalam Surah 95: Al-Teen Ayat 1 yang bermaksud:
“Demi buah tin dan buah zaitun”.
Firman Allah dalam surah An-Nuur ayat 35 pula, bermaksud:
“… Dan pohon yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak di sebelah barat, yang minyaknya hampir menerangi walaupun tidak disentuh api…”

Mari kita lihat keistimewaan buah zaitun.
Pohon zaitun mempunyai ketinggian lebih kurang 3 meter, berdaun hijau terang dan berbuah ungu gelap. Menurut pengamal hadis, setelah taufan Nabi Noh melanda, tumbuhan zaitun adalah yang pertama kelihatan. Buah zaitun kaya dengan vitamin A, B1, B2, C, D, E, K dan zat besi. Buah zaitun di gred mengikut tahun ia diambil dari pokok, jenis dan saiz.

Minyak zaitun boleh digunakan untuk dalaman (kesihatan) juga luaran (kecantikan). Ia merupakan syarat utama untuk gaya hidup yang lebih sihat. Ia digunakan dalam pembuatan produk kecantikan kerana ciri-cirinya yang boleh melembutkan kulit. Ia merupakan minyak semula jadi yang terbaik dan pilihan utama untuk tumbesaran. Paras asid yang rendah memudahkan penghadaman berbanding lemak lain. Vitamin E dalam minyak zaitun merendahkan kolesterol LDL, tekanan darah dan risiko sakit jantung koronari. Vitamin K pula menghalang darah dari melekit dan membeku. Kesimpulannya, minyak zaitun tulen mengandungi perlindungan kesihatan, ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, arteriosklerosis dan pelbagai masalah akibat proses penuaan.

Dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Makanlah minyak zaitun dan urutlah dengannya ke seluruh badan kerana ia adalah dari pohon yang suci"
Diriwayatkan oleh hazrat Sayyed Al-Ansari.

Menurut ulamak Zahbi, minyak zaitun menguatkan rambut dan badan. Ia boleh digunakan sebagai tonik kepada masalah penuaan dan melambatkan prosesnya. Ia boleh juga digunakan untuk mengatasi masalah seksual. Minyak zaitun berkesan dalam mengatasi kes kebakaran dengan mencampurkannya dengan sedikit garam. Jeruk buah zaitun boleh mengatas masalah sembelit.

Pengambilan lemak yang tinggi berserta minyak zaitun dapat mengurangkan risiko sakit jantung. Menurut Ibnu Al-Qayyim, minyak zaitun adalah penyeri wajah. Ia menghalang berlakunya keracunan, mengawal proses penghadaman, mengilatkan rambut dan berkesan untuk bisul, ruam lampin, gatal-gatal dan ulser yang kronik. Menyapu minyak zaitun dengan sedikit garam pada gusi boleh melegakan penyakit gusi dan gigi.

Menurut statistik, minyak zaitun merupakan ramuan utama makanan penduduk Mediterranean. Sakit jantung adalah akibat kematian yang tinggi di Amerika Syarikat. Kajian terkini ke atas minyak zaitun mendapati ia boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari dengan merendahkan kadar kolesterol dalam darah. Menurut kajian, risiko serangan jantung boleh dikurangkan dengan pengambilan minyak zaitun, penambahan sayuran dan pengurangan makanan tenusu. Kajian lain mendapati minyak zaitun mengurangkan lemak badan di bahagian perut. Risiko menghidapi sakit jantung berlaku lebih pada mereka yang mempunyai badan dan perut berbentuk epal. Kajian terhadap kolesterol LDL menunjukkan ia menjadi punca utama pembentukan arteriosklerosis. Ini akan menambahkan risiko sakit jantung koronari dan serangan jantung.

Kajian yang dijalankan ke atas wanita oleh "Harvard School of Public Health" dan "Athens School of Public Health" mendapati amalan mengambil minyak zaitun lebih dari sekali sehari boleh mengurangkan 25% risiko menghidapi kanser payu dara. Kandungan Vitamin E yang tinggi dalam minyak zaitun telah menghalang kemusnahan sel yang menjadi punca kanser. Kajian yang diketuai oleh profesor Miguel Gassull di Hospital Universiti "Germans Trias Pujol" di Barcelona, Sepanyol ternyata membuktikan minyak zaitun menghalang pembentukan kanser kolon. Kajian lain yang dijalankan di Universiti Oxford menambah bukti yang menunjukkan minyak zaitun berkesan dalam membantutkan kanser kolon. Dr Michael Goldacre dan sekumpulan pengkaji dari "Institute of Health Science" membandingkan kanser, makanan dan pengambilan minyak zaitun di 28 negara termasuk Eropah, Amerika Syarikat, Brazil, Colombia, Kanada dan China. Hasil kajian menunjukkan negara yang mempunyai pengambilan daging yang lebih dan sayur yang kurang mempunyai risiko menghidapi kanser yang tinggi. Minyak zaitun dikaitkan sebagai punca kurang risiko. Saintis Jepun mendakwa minyak zaitun tulen yang disapu pada badan selepas berjemur boleh memeliharanya daripada kanser kulit.

Pengajaran: Apabila Allah memulakan sesuatu Ayat dengan sumpah, menunjukkan benda/perkara itu amat penting. Dengan ilmu manusia yang sentiasa terbatas pun sudah banyak penemuan yang membuktikan kepentingannya. Tak perlu berfikir panjang lagi.

Wallahualam

Blog Tazkirah Anak Minah pindah..

Harap maklum, kami telah berpindah ke blog yang baru ini...
Teruskan bersama kami dalam setiap keluaran artikel renongan dan ilmu tazkirah semuga sama-sama mendapat manafaat.

Salam