Wednesday, February 08, 2006

14 Perkara Yang Sunat Dilakukan Pada Hari Asyura (10 Muharram, Khamis, 9 Feb 2006)

1. Melapangkan masa / belanja anak isteri
> Fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

2. Memuliakan fakir miskin
> Fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

3. Menahan marah
> Fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukannya ke dalam golongan yang ridha.

4. Menunjukkan orang sesat
> Fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
> Fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.

6. Bersedekah
> Fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri
> Fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat
> Fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu lafaz niat : "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala"

9. Bercelak
> Fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu.

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
> Fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirananti.

11. Sembahyang sunat empat rakaat
> Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. lafaz niat : "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala". Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.

12. Membaca "hasbiyallahhu wani'mal wakil wa ni'mal maula wa ni'mannasiiru"
> Fadhilat - Tidak mati pada tahun ini .

13. Menjamu orang berbuka puasa
> Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

14. Puasa - Niat "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala"
> Fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Wallahualam.
Apa yang baik datang dari Allah, yang tidak sempurna datang dari blogger ini sendiri.

Monday, February 06, 2006

Isu Karikatur menghina umat Islam

Isu karikatur yang hangat dan semakin meluap-luap dan semakin diluar kawalan nampaknya masih belum menunjukkan apa-apa jalan penyelesaian. Pihak pengeluar karikatur dari Denmark yang menghina Rasulullaah SAW dan umat Islam keseluruhannya terlalu melampau. Konon untuk menegakkan kebebasan bersuara. Tapi terlalu menjurus dan berat kepada penghinaan umat Islam.

Tunjuk perasaan dan demonstrasi disana sini.

Tapi, apa sebenarnya pendirian umat Islam di negara ini? Sebuah akhbar tabloid dinegara sendiri sanggup mengeluarkan kembali karikatur itu. Walaupun ada tentangan, tetapi tidak nampak sehebat mana berbanding dengan di luar negara. Mengapa? Kita mengamalkan adat timur? Kita mengamalkan adat bersopan santun? Kita mengamalkan sikap bertenang dahulu? Kita tidak faham mengapa orang begitu marah sangat? Atau kita ada banyak hal yang lebih 'penting' lagi untuk diuruskan seperti menjayakan AJL20 baru-baru ini yang terpaksa 'berkorban' untuk meninggalkan sembahyang Magrib...

Maaf saya cakap, isu ini kalau berkaitan isu produk babi diberi makan kepada umat Islam, kita akan terus melenting. Tapi bila kes macam ini kita lebih banyak kepada tunggu dan lihat. Sedikit sebanyak, maaf saya cakap lagi , ini menampakkan betapa tipis nya iman dan betapa tidak sensitifnya kita dalam isu agama sebenarnya. Apa lagi untuk cuba mempertahankannya?

Thursday, December 22, 2005

Bencana alam peringatkan manusia tingkat keimanan

Tahun lepas gempa bumi di dasar laut yang menyebabkan ombak besar atau lebih dikenali Tsunami melanda beberapa negara Asia pada 26 Disember 2004. Beratus ribu nyawa terkorban. Apa pula nasib mereka yang masih hidup? Ikutan dari itu gempa bumi disana sini terus berlaku. Sehingga yang terkini termasuk banjir yang terdahsyat sepanjang 30 tahun ditanah air kita. Begitu juga tempat-tempat yang tak pernah ada salji, sekarang sudah ada. Di Jepun misalnya beberapa nyawa terkorban akibat dilanda salji.

Dunia terpegun, terperanjat dan seakan-akan tidak percaya. Ahli sains dan pakar geologi mempunyai pelbagai teori yang menjadi punca gempa besar di dasar laut yang kekuatannya jauh melebihi letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun. Mereka berkata bahawa tsunami terjadi akibat pergeseran kerak bumi di dasar laut yang membuat getaran hebat dan kemudian disusuli dengan ombak maha dahsyat berkelajuan melebihi 800 kilometer sejam. Begitu juga dengan fenomema yang lain-lain, ada teorinya.

Pada hakikatnya, manusia mesti akur dan menginsafi bahawa kekuatan akal, fikiran dan usaha manusia sangat terbatas berbanding kebesaran dan kekuasaan Allah. Bencana alam ini menyedarkan bahawa manusia sebenarnya tidak dapat menolak kehendak dan takdir-Nya.

Jika dipandang melalui kaca mata agama, bencana alam seharusnya dijadikan alat untuk merenung dan berfikir apa yang telah dilakukan manusia. Sebab segala sesuatu yang berlaku di alam ini tidak berlaku secara begitu saja, tanpa ada hikmah tersembunyi yang berfungsi sebagai pengajaran untuk manusia.

Adakalanya bencana alam itu berlaku akibat proses semula jadi alam, sama ada pergeseran yang bertujuan memperkukuhkan struktur bumi atau gejala alam biasa seperti letupan gunung berapi. Namun, ada kalanya bencana alam itu terjadi akibat tangan manusia. Banjir, tanah runtuh dan kesan rumah kaca sering terjadi kerana manusia merosak hutan dan memotong pokok kayu tanpa perhitungan. Mendirikan pelbagai bangunan tanpa menimbangkan keadaan alam sekitar juga sering menjadi punca pelbagai bencana alam. Hal itu dengan tegas disebut Allah dalam al-Quran.

Firman-Nya bermaksud:

“Telah terjadi pelbagai kerosakan dan kebinasaan di laut dan darat diakibatkan kerana perbuatan tangan manusia itu sendiri." (Surah al-Rum, ayat 41).

Ada pula bencana alam sebagai peringatan terhadap kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh manusia. Hal ini seperti yang berlaku terhadap umat Nabi Yunus. Nabi Allah itu mengajak umatnya menganut agama tauhid dan menegah mereka daripada berbuat syirik dan kebinasaan. Tetapi, kaumnya enggan dan menolak dakwah itu. Maka, serta merta datanglah gempa bumi yang dahsyat membinasakan harta benda, tanaman dan ternakan. Gempa besar itu menyedarkan mereka daripada kekhilafannya. Akhirnya umat Nabi Yunus kembali ke ajaran agama tauhid yang sebenar.

Ertinya, bagi orang mukmin bencana alam dan musibah itu sebenarnya adalah teguran daripada Allah terhadap kesalahan dan tingkah laku manusia yang sudah terlalu jauh menyimpang dan meninggalkan ajaran sebenarnya. Musibah ini memperingatkan kita untuk kembali ke pangkal jalan meninggalkan kemaksiatan dan dosa, kembali kepada kebenaran.

Namun, ada kalanya musibah dan bencana itu berupa azab yang ditimpakan Allah kepada kaum kafir, zalim dan melampau batas, bukan kerana gejala semula jadi alam atau akibat tangan manusia. Peristiwa banjir besar pada zaman Nabi Nuh adalah salah satu contohnya. Pada masa itu, hutan belum lagi ditebang secara meluas, industri belum lagi ada, kesan rumah kaca pun belum lagi wujud. Tetapi, Allah menurunkan banjir dan memusnahkan kaum itu dari bumi ini. Hal ini berlaku kerana kekafiran dan penderhakaan yang mereka lakukan terhadap Maha Kuasa.

Begitu juga peristiwa pada zaman Nabi Luth, dalam bentuk gempa bumi yang sangat besar yang meranapkan semua bangunan tempat tinggal dan membinasakan semua penduduk negeri itu.

Padahal, pada masa Nabi Luth alam itu masih lagi lestari, belum ada kerosakan akibat tangan manusia. Tetapi, Allah mendatangkan azab bagi menghukum kejahatan dan sikap melampau batas yang mereka lakukan dan sikap sombong serta kafir terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.

Oleh itu, bencana alam yang melanda beberapa negara seharusnya menjadi iktibar bagi kita semua. Musibah ini juga seharusnya membuat kita bertanya yang mana satukah daripada diatas yang sedang berlaku ini?

Jika bencana alam itu adalah gejala alam biasa, maka sebagai orang yang beriman kita hanya dapat mengucapkan Subhanallah di atas kekuasaan Tuhan yang diperlihatkan-Nya melalui fenomena alam yang demikian dahsyatnya.Jika kejadian itu berpunca daripada kerosakan yang dilakukan oleh tangan manusia, maka penyebab itu mestilah ditemukan bagi mencari jalan penyelesaiannya. Namun, jika bencana ini adalah peringatan kepada manusia, maka sewajarnya kita merenung dan muhasabah diri untuk mengingat kesilapan yang dilakukan, bertaubat dan memohon ampun kepada Allah, Tuhan pemilik alam ini.

Salah satu jalan terbaik untuk menolak bala dan bencana serta memudahkan datangnya kasih sayang Tuhan adalah dengan mengukuhkan iman dan takwa. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud:

“Andai kata penduduk satu negeri itu benar-benar beriman dan bertakwa, maka kami akan bukakan kepada mereka keberkatan kami yang datang dari langit mahupun yang tumbuh dari bumi. Akan tetapi jika mereka mendustakan ayat kami, maka kami akan azab mereka akibat daripada perbuatan mereka sendiri " (Surah al-A'raf, ayat 96)

Thursday, December 01, 2005

Persoalan Islam Hadhari

Semenjak Perdana Menteri Malaysia menyebut tentang perlaksanaan Islam Hadhari mula-mula dahulu, ramai dikalangan masyarakat turut menyebut dan mengulangi istilah yang sama. Baik di kalangan para-para menteri, timbalan-timbalan menteri, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan, para ulama, para akademik, pengulas-pengulas di akhbar dan tidak ketinggalan juga rakyat biasa dari berbagai-bagai peringkat masyarakat.

Walaubagaimanapun tidak ramai yang berani mengulas lanjut tentang konsep ini. Ini kerana orang masih belum faham, tertanya-tanya dan masih belum pasti apa sebenarnya Islam Hadhari itu. Kalau ada pun yang memberi reaksi, hanya setakat menyatakan kefahaman mereka tentang Islam Hadhari tetapi tidak berapa pasti sebab tidak ada tempat rujuk. Penulis juga tertarik dengan pengulasan ’kedai kopi’ yang mengatakan Islam Hadhari itu datang dari dua perkataan ’Had’ dan ’hari’. Yang bermaksud Islam yang ada had-had mengikut keadaan tertentu dan pelaksanaan mengikut hari-hari yang tertentu. Bagaimana ini?

'Islam Hadhari' tidak disebut dalam Quran dan tidak disebut dalam hadis. Ulama-ulama muktabar dahulu pun tidak ada yang menyebutnya. Ia istilah baru atau istilah kontemporari. Ia hanya disebut oleh beberapa ilmuan mutakhir dan kefahaman ini belum meluas dan belum diterima umum. Hadhari dikatakan datang dari perkataan 'hadhara'. Kalau hendak diterjemahkan dari segi bahasa, maknanya hadhir (hadir). Bila ditambah “ya” dihujungnya menjadi hadhari, maka maksudnya menjadi isim nisbah iaitu dibahasakan kepada hadhir.

Terjemahan atau kupasan kepada istilah hadhir ini ialah realiti. Jadi Islam Hadhari ialah Islam Realiti. Realiti pula dikatakan yang sebenarnya, yang betul-betul Islam, yang tulin dan pure dan yang hakiki. Iaitu Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan di zaman para-para sahabat. Islam yang membawa kemajuan rohaniah dan lahiriah. Atau dengan kata lain yang memfokuskan kepada kejayaan materistik dan kerohanian. Apa yang dimaksudkan dengan Islam Hadhari ialah yang dikatakan Islam yang indah dan bersifat global.

Walau apapun namanya, ia tetap didakwa sebagai Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kerana kalau dikatakan Islam, tidak ada Islam lain selain daripada itu. Kalau berbeza maka ia dengan sendirinya tertolak.

Sebenarnya, kalau disebut Islam sahaja pun sudah cukup. Istilah-istilah dan slogan-slogan yang lain sebenarnya tidak menambah apa-apa kepada istilah Islam. Yang penting umat Islam mesti memahami betul-betul Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Bukan Islam ikut fahaman sendiri atau ikut fahaman kelompok-kelompok yang tertentu. Oleh itu jangan kita terkeliru dengan istilah Madani atau Hadhari. Walaupun bunyinya hebat dan mengkagumkan, ia sebenarnya tidak ada membawa apa-apa maksud baru atau maksud-maksud tambahan kepada istilah Islam yang sebenarnya.

Apa yang penting, kita mesti merujuk kepada Islam yang sebenar atau Islam Realiti dan Islam Hakiki. Semua aspek Islam terbawa dalam setiap tindakan. Aqidah dan syariat terbawa dan berlaku dalam semua aspek dan tempat, samada dalam diri sendiri, rumahtangga, masyarakat, pejabat, pentadbiran, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, pertanian, hiburan, perhubungan, dalam negara dan dalam hal-hal antarabangsa.

Persoalan yang mungkin harus diketengahkan sekarang ialah bagaimana pelaksanaannya konsep ini. Apakah ada perubahan yang kita nampak setakat ini. Dengan besar harapan kita semuga perlaksanaannya dan teori yang canggih itu selari dan tidak banyak yang dapat dipersoalkan lagi. Semuga istilah dari kedai kopi itu akan hanya lapok begitu sahaja.

Amin...

Sunday, November 27, 2005

Mengapa Pentingnya Makanan Halal

Seseorang yang ingin memiliki kekuatan batin bersumber dari tenaga Ilahiyah harus memperhatikan makanannya. Baginya pantang kemasukan makanan yang haram kerana kehadirannya akan mengotori hati. Makanan yang haram akan membentuk jiwa yang kasar dan tidak bersifat keagamaan. Makanan yang haram disini bukan hanya dilihat dari jenisnya saja ( Misal ; Babi, bangkai, dll.), tapi juga dari cara dan proses untuk mendapatkan makanan tersebut.

Kesan dari makanan yang haram ini menyebabkan jiwa sukar untuk diajak menerima dengan hal-hal yang positif, seperti : dibuat zikir tidak khusuk, berdo’a tidak sungguh-sungguh dan hati tidak tawakal kepada Allah.

Daging yang tumbuh dari makanan yang haram selalu menuntut untuk diberi makanan yang haram pula. Seseorang yang sudah terjebak dalam lingkaran ini sulit untuk melepaskannya, sehingga secara tidak langsung menjadikan hijab atau penghalang seseorang memperoleh getaran/ cahaya Illahiyah.

Disebutkan, setitik makanan yang haram memberikan kesan terhadap kejernihan hati. Ibarat setitik dakwat yang jatuh diatas kertas putih, semakin banyak unsur makanan haram yang masuk, ibarat kertas putih yang banyak ternoda dakwat itu. Sedikit demi sedikit akan hitamlah semuanya.

Hati yang gelap menutupi hati nurani, menyebabkan tidak peka terhadap nilai-nilai kehidupan yang mulia. Seperti kaca yang kotor oleh debu-debu, sulitlah cahaya menembus nya. Tapi dengan zikir dan menjaga daripada makanan haram, hati menjadi bersih bercahaya.

Wallahualam..

Thursday, November 24, 2005

Jengok keadaan semasa - apa kata AnakMinah

Salam, selamat berjumpa kembali setelah beberapa hari AnakMinah tidak mencoretkan sesuatu di sini. Sibuk lah sikit katakan..

Yah! Nampaknya dalam musim cuti sekolah ini, dalam kesibukan meraikan hari Raya kita dengan jemputan rumah terbuka selain dari hariraya ’Depa’, ada begitu banyak jemputan-jemputan yang diterima seperti kenduri-kenduri sempena pemergian bakal haji ke Tanah Suci, Walimatul Urus dan sebagainya. Meriah sekali! Ada yang kecil-kecilan dan ada yang besar-besaran. Tambahan dengan kehadiran bintang Mawi, yang agak berkontroversi ketika ini, lain macam sikit gah nya!

AnakMinah juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan selamat berangkat kepada bakal-bakal haji yang pergi sebagai tetamu Allah ke tanah suci Makkah dan Madinah. Diiringkan doa semuga perjalanan dan urusan haji lancar, dipermudahkan Allah, selamat dan mendapat haji yang mabrur. Renongkanlah petikan hadis berikut.

SABDA RASULULLAH :
" Barangsiapa keluar ( dari rumahnya ) untuk menunaikan Haji tiba-tiba ia meninggal dunia di dalam perjalanannya, maka ditulis baginya ganjaran pahala Haji sehingga ke hari Qiamat dan barangsiapa keluar ( dari rumahnya ) untuk menunaikan Umrah tiba-tiba ia meninggal dunia di dalam perjalanannya, maka ditulis baginya ganjaran pahala Umrah sehinggalah ke hari Qiamat dan barangsiapa keluar ( dari rumahnya ) untuk berjuang di jalan Allah dan ia meninggal dunia di dalam perjalanannya, maka ditulis baginya ganjaran pahala orang Mujahid sehinggalah ke hari Qiamat "
- ( Diriwayat oleh Abu Ya'ala daripada Abu Hurairah )

Aha, kesempatan ini juga AnakMinah harap mereka-mereka yang terkena banjir pula, diharap dapat berhati-hati dan hadapi dengan tenang. Insyaallaah.. ada hikmat disebalik sesuatu kejadian..

Jumpa lagi kemudian..

Tuesday, November 22, 2005

Perkahwinan dan Walimatulurus

Islam telah menggariskan satu perkahwinan yang khusus untuk panduan orang-orang Islam dalam mendirikan rumahtangga bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dalam memilih isteri, Islam memberi kebebasan kepada kaum lelaki untuk memilih bakal isteri yang sesuai dengannya. Islam menganjurkan supaya memilih seorang perempuan yang salih dari keturunan yang ramai anak, berakhlak mulia, dan cantik.

Sabda Rasullah SAW
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi S.A.W telah bersabda: " Dinikahi wanita itu kerana empat sifat, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Pilihlah yang beragama , bahagialah engkau."

Seseorang perempuan boleh membuat pilihan sama ada menerima atau menolak suatu perkahwinan sekiranya mempunyai sebab-sebab yang munasabah.

Perempuan-perempuan yang haram dikahwini ialah:
1.Sebab keturunan

  • Ibu,nenek,ibu sebelah bapa, dan seterusnya(ke atas)
  • Anak, (cucu) cicit, dan seterusnya ( ke bawah)
  • Saudara perempuan seibu sebapa
  • Saudara perempuan seibu
  • Saudara perempuan dari sebelah bapa (anak saudara)
  • Saudara perempuan dari sebelah ibu (emak saudara)
  • Anak perempuan daripada saudara perempuan, dan seterusnya (anak saudara cucu)
  • Anak perempuan daripada saudara lelaki dan seterusnya (anak saudara, cucu)

2.Sebab susuan

  • Ibu susuan
  • Saudara perempuan susuan
  • Adik beradik ibu susuan
  • Anak saudara perempuan susuan
  • Ibu mentua ibu susuan


3.Sebab perkahwinan

  • Ibu mentua
  • Ibu tiri
  • Anak tiri apabila sudah bercampur dengan ibunya
  • Saudara perempuan isteri
  • Menantu
  • Isteri bapa
  • Haram hukumnya menikahi dua adik-beradik perempuan atau seorang perempuan dimadukan dengan saudara perempuan bapanya, atau anak perempuan saudaranya.

Syarat-syarat bakal isteri:

  • Islam
  • Perempuan , bukan khunsa atau pondan
  • Bukan isteri orang
  • Tidak dalam idah
  • Bukan muhrim


Syarat-syarat bakal suami:

  • Islam
  • Lelaki
  • Tidak beristeri empat
  • Bukan muhrim


Islam mengharuskan seorang lelaki melihat bakal isterinya supaya tidak menimbulkan perkara-perkara yang tidak puas hati di kemudian hari. Seseorang lelaki diharuskan melihat muka dan kedua-dua tapak tangan bakal isterinya.


Walimatulurus(kerja kahwin) pula ialah kenduri yang diadakan sempena majlis perkahwinan. Hukum mengadakan walimatulurus adalah sunat Muakad kerana perbuatan tersebut adalah baik dan mulia. Tujuan Islam menggalakkan walimatulurus diadakan ialah:

  • Melahirkan tanda kesyukuran dan kegembiraan
  • Supaya pernikahan tersebut diketahui ramai
  • Untuk mengeratkan tali persaudaraan di antara kedua-belah pihak


Islam menggalakkan walimatulurus, tetapi melarang jamuan tersebut diadakan secara besar-besaran yang bertentangan dengan Islam.

Sabda Rasulullah S.A.W
Maksudnya:Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan jemputan (walimatulurus) maka sesungguhnya dia telah ingkar perintah Allah dan Rasul-Nya.


Menghadiri walimatulurus apabila dijemput adalah wajib sekiranya tidak ada keuzuran. Antara perkara-perkara yang dilarang ketika mengadakan walimatulurus ialah:

  • Melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam
  • Mengadakan walimatulurus untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk
  • Tidak mementingkan perkara haram dalam tersebut
  • Melakukan kenduri walimatulurus yang mempunyai unsur-unsur pembaziran dan sebagainya.

Wallahualam..